Sabtu, 4 Julai 2009

PENGENALAN ILMU USULUDDIN

Bagi setiap ilmu ada pengenalan ataupun prinsipnya . Justeru itu , para ulama telah menegaskan bahawa setiap ilmu mempunyai sepuluh mabadi’ atau melayunya dipanggil sepuluh pengenalan dan prinsipnya .
Sepuluh prinsip itu ialah : takrif ilmu , topik perbincangan , pengasas ilmu , hukum mempelajarinya , nama , kedudukannya , permasaalahan , tempat rujukan , faedah mempelajarinya dan matlamat sesuatu ilmu itu .
Jadi saya akan menjelaskan tentang sepuluh prinsip ini satu-persatu dengan cara ikhtisar(ringkas) :

1- Takrif
Para ulama’ telah berselisih pada takrif ilmu usuluddin kepada pelbagai takrif . Tetapi saya hanya mengambil satu takrif yang ringkas dan padat untuk memudahkan kita memahaminya .
Imam Al-sowi mentakrifkan ilmu usuluddin di dalam kitabnya yang bernama Syarah Al-sowi ‘ala jauharoh tauhid : satu ilmu yang diketahui dengannya apa(sifat) yang wajib bagi ALLAH ,apa(sifat) yang mustahil dan apa(sifat) yang harus bagi ALLAH , dan apa(sifat) yang wajib bagi Rasul-rasul , apa(sifat) yang mustahil dan apa(sifat) yang harus bagi mereka , dan tentang perihal benda-benda yang ghaib dan tentang perkara-perkara yang mumkinat
(harus) .

2- Topik perbincangan
Topik atau tajuk perbincangan ilmu ini hanya berkisar tentang zat ALLAH dan juga segala sifat-sifatNya ataupun segala maklumat yang boleh membawa kepada akidah diniyyah(agama).

3- Pengasas
Pengasas ilmu usuluddin ialah Imam Al-asy'ari dan pengikutnya(Al-asya’iroh) dan juga Imam Al-maturidi dan pengikutnya(Al-maturidiyyah) .

4- Hukum belajar
Hukum mempelajari ilmu usuluddin ini terbahagi kepada dua :

Pertama : wajib ‘aini(fardu ain) di atas setiap individu yang beriman dengan dalil ijmali(secara umum) sahaja .

Kedua : wajib kifai(fardu kifayah) ke atas setiap penduduk dua marhalah , mesti ada seorang yang mengetahui ilmu ini dengan dalil-dalil tafsili( terperinci) yang mampu menolak kekeliruan tentang masalah akidah .

5- Nama
Nama ilmu ini sangat banyak . Antaranya : ilmu tauhid , ilmu usuluddin , ilmu kalam , ilmu fekah akbar dan ilmu akidah .

6- Kedudukan
Ilmu ini merupakan asal usul bagi agama kita Islam , manakala ilmu yang lain ialah cabang bagi agama . Dan ia merupakan ilmu yang paling afdhal kerana membicarakan perkara yang berkait dengan zat ALLAH .

7- Permasalahan
Ilmu ini hanya membicarakan mengenai tiga perkara ; ilahiyyat(yang berkait dengan ALLAH) nubuwwat(yang berkait dengan para nabi) dan sam'iyyat(yang berkait dengan alam ghaib) disudut wajib , mustahil dan harus bagi akal sahaja .

8- Tempat rujukan
Tempat rujukan ilmu ini ialah dalil naqli(Al-quran dan hadis) dan dalil akli(akal) .

9- Faedah
Mengesahkan amalan kita di dunia ini .

10- Matlamat
Matlamat dari mempelajari ilmu ini tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mengapai redha ALLAH dan masuk syurgaNya .

Begitulah penerangan serba sedikit tentang prinsip ilmu usuluddin yang saya petik dari Syarah Al-sowi ‘ala jauharoh tauhid dan Al-aqoid al-durriyyah syarah matan sanusiyyah. Wallahua’lam .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

©2009 .::usuluddin::. | Template Blue by TNB