Jumaat, 17 Julai 2009

sifat-sifat wajib bagi ALLAH

Diruangan yang lepas saya telah menjelaskan secara ijmal (umum) mengenai sifat-sifat yang wajib bagi ALLAH iaitu 20 sifat . Insyaallah kali ini saya akan menghuraikan sifat-sifat itu secara terperinci mengikut kadar kemampuan saya namun secara pastinya untuk memahami ilmu ini mestilah bermusyafahah(mengadap) dengan para masyaikh dan tuan-tuan guru .

Sebelum itu saya ingin menyatakan bahawa sifat-sifat ALLAH terbahagi kepada empat mengikut satu pandangan dan mengikut satu pandangan lagi ia hanya terbahagi kepada tiga sahaja . Keempat-empat bahagian itu ialah :
1- Sifat nafsiyyah( 1 sifat sahaja )
2- Sifat salbiyyah ( 5 sifat )
3- Sifat ma’ani ( 7 sifat )
4- Sifat maknawiyyah ( 7 sifat )
Manakala mengikut pandangan yang kedua mereka tidak mengira sifat maknawiyyah sebagai sifat ALLAH kerana mereka berpendapat sifat maknawiyyah ini sama sahaja dengan sifat ma’ani .

SIFAT NAFSIYYAH
Sifat nafsiyyah ialah sifat yang melazimi bagi setiap zat . Sifat nafsiyyah ini hanya mengambarkan tentang zat sahaja tidak lebih dari itu . Contohnya wujud (ada) , maka sifat wujud ini hanyalah satu sifat yang ada selama mana zat itu ada , andai kata zat itu tiada maka dengan sendirinya sifat wujud itu pun tiada juga .

SIFAT SALBIYYAH
Sifat salbiyyah ialah sifat yang mesti kita nafikan daripada zat ALLAH s.w.t . Contohnya wujud ALLAH ada permulaan . Jadi wajib kita nafikan sifat tersebut daripada zat ALLAH s.w.t maka kita katakan dan sabitkan ALLAH itu qadim(sedia ada) dengan makna tidak ada permulaan bagi kewujudan ALLAH.

SIFAT MA’ANI
Sifat ma’ani pula ialah sifat yang ada pada zat yang menyebabkan zat itu dihukumkan dengan sifat itu . Contohnya sifat qudrat , maka setiap zat yang ada sifat qudrat ini dipanggil kaunuhu qodiran (yang berkuasa) .

SIFAT MAKNAWIYYAH
Sifat maknawiyyah ialah keadaan ataupun hal yang wajib ada selama mana zat itu bersifat dengan sifat-sifat ma’ani . Contohnya sifat kaunuhu taala qodiran(keadaan ALLAH berkuasa) , maka selama-mana zat ALLAH bersifat dengan qudrat maka ia dipanggil yang berkuasa .

MAKLUMAN
Antara keempat-empat bahagian sifat yang dinyatakan diatas tadi hanya satu sahaja bahagian yang benar-benar ada pada zat ALLAH s.w.t iaitu sifat ma’ani , seandainya ALLAH membuka hijab dari pandangan kita pasti kita mampu melihat sifat-sifat tersebut . Manakala sifat-sifat yang lain ianya hanya wujud pada kiraan akal kita sahaja . Contoh yang mudah untuk diketengahkan ialah sifat mandul , pada hakikatnya sifat mandul ini tidak ada pada sepasang suami isteri tetapi bila mereka tidak dikurniakan zuriat maka mereka dipanggil mandul , justeru sifat mandul ini pada hakikatnya tidak ada pada zat seseorang itu sehingga kita mampu melihatnya tetapi ianya hanya ada pada kiraan akal kita sahaja .

SIFAT PERTAMA : WUJUD ( ADA )
TAKRIF WUJUD
Wujud ialah satu hal ataupun keadaan yang wajib bagi zat selama mana ianya ada , dan hal ataupun keadaan ini tidak mempunyai sebab bagi wujudnya .

HUKUM
Wajib syara’ keatas semua mukallaf beriktikad yakin seratus peratus bahawa ALLAH s.w.t itu wujud (ada) dan wajib kita nafikan sifat ‘adam ( tiada ) dari zat ALLAH . Wujud ALLAH tidak sama dengan wujud kita ini kerana wujud ALLAH tidak didahului oleh tiada dan tidak dihubungi oleh tiada . Adapun wujud kita ini , ianya didahului oleh tiada dan dihubungi oleh tiada juga . Dengan erti kata yang lain tidak ada tarikh lahir dan tarikh mati bagi ALLAH sedangkan kita ada hari dan tarikh kelahiran dan kematian .

DALIL AQLI
Dalil aqli tentang adanya sifat wujud bagi ALLAH ialah baharu alam ini . Mengapakah kita mengatakan baharu alam ini sebagai dalil wujudnya ALLAH? Jawapannya ialah alam ini sebelum adanya , ada dan tiadanya adalah sama berat 50-50 . Tetapi bila sahaja ia wujud , akal kita mengatakan mesti ada yang menjadikan alam ini kerana alam tidak mampu untuk menjadikan dirinya sendiri bahkan orang lain sahaja yang mampu mewujudkan alam ini . Maka apabila difikirkan nyatalah yang menjadikan alam ini ialah ALLAH s.w.t .
MAKLUMAN
Alam ini secara ringkasnya hanya mempunyai dua unsur iaitu jirim ( zat/batang tubuh ) dan ‘arod ( sifat ) . Maka setiap jirim wajib mempunyai sifat begitu juga sifat wajib menumpang ataupun bersama jirim , masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain . Setiap jirim hanya boleh mengambil salah satu sahaja diantara sifat-sifat yang berlawanan contohnya gerak dan diam , bila mana satu jirim itu bergerak maka sudah pasti ternafi darinya sifat diam .
BERSAMBUNG

1 ulasan:

 

©2009 .::usuluddin::. | Template Blue by TNB