Isnin, 27 Julai 2009

SIFAT KEDUA

Diruangan yang lepas saya telah menerangkan tentang sifat wujud dan insyaallah kali ini saya akan masuk kepada perbincangan yang seterusnya iaitu sifat kedua yang wajib bagi ALLAH .

SIFAT KEDUA : QIDAM

TAKRIF QIDAM
Qidam maknanya tiada permulaan bagi wujud ALLAH S.W.T .

HURAIAN
Qidam ialah salah satu daripada sifat salbiyyah yang telah saya terangkan pada ruangan lalu . maka sifat qidam ini bukanlah suatu sifat yang wujudi(ada) tetapi ianya hanyalah natijah daripada penafian akal kita bahawa wujud ALLAH itu tiada permulaan . apabila ternafinya permulaan bagi wujud ALLAH sabitlah pada akal kita bahawa ALLAH itu qodim iaitu sedia adanya .

HUKUM
maka wajib keatas kita sebagai mukallaf meyakini dan mengakui bahawa ALLAH adalah zat yang qodim(sedia ada), wujud ALLAH sama sekali tidak didahului oleh tiada . bahkan wujud ALLAH tiada permulaan , tiada yang menjadikan ALLAH .

DALIL AQLI
andai kata wujud ALLAH itu ada permulaan nescaya ALLAH adalah zat yang baharu , kerana setiap benda yang ada permulaan semuanya dihukum sebagai hadis(baharu) .bila ALLAH baharu maka dia mestilah diciptakan oleh orang lain maka ianya tidak lari dari dua keadaan :

1- tasalsul
tasalsul bermakna berantai-rantaian . andai kata ALLAH itu baharu mestilah ada yang menjadikannya , maka yang menjadikan ALLAH itu pun memerlukan kepada penciptanya kerana sudah pasti dia(yang menjadikan ALLAH) pun tidak qodim . contohnya si A mencipta si B si B mencipta si C sampai tiada kesudahan .maka semua ini akan membawa kepada tiada alam ini tetapi itu adalah mustahil kerana alam ini sudah pun wujud dan dilihat dengan mata kepala kita .maka sabitlah bahawa ALLAH itu mesti qodim .

2- daur
daur ialah berpusing-pusing . andai kata ALLAH ini baharu maka mestilah ada orang yang menciptakannya . maka yang menciptakan ALLAH juga memerlukan orang menciptakannya . contohnya si A mencipta si B , si B mencipta si C , dan si C mencipta pula si A . ini semua adalah karut dan tidak masuk akal . maka sabitlah kepada kita bahawa ALLAH itu sedia ada bukannya baharu .

wallahua'lam...

Jumaat, 17 Julai 2009

sifat-sifat wajib bagi ALLAH

Diruangan yang lepas saya telah menjelaskan secara ijmal (umum) mengenai sifat-sifat yang wajib bagi ALLAH iaitu 20 sifat . Insyaallah kali ini saya akan menghuraikan sifat-sifat itu secara terperinci mengikut kadar kemampuan saya namun secara pastinya untuk memahami ilmu ini mestilah bermusyafahah(mengadap) dengan para masyaikh dan tuan-tuan guru .

Sebelum itu saya ingin menyatakan bahawa sifat-sifat ALLAH terbahagi kepada empat mengikut satu pandangan dan mengikut satu pandangan lagi ia hanya terbahagi kepada tiga sahaja . Keempat-empat bahagian itu ialah :
1- Sifat nafsiyyah( 1 sifat sahaja )
2- Sifat salbiyyah ( 5 sifat )
3- Sifat ma’ani ( 7 sifat )
4- Sifat maknawiyyah ( 7 sifat )
Manakala mengikut pandangan yang kedua mereka tidak mengira sifat maknawiyyah sebagai sifat ALLAH kerana mereka berpendapat sifat maknawiyyah ini sama sahaja dengan sifat ma’ani .

SIFAT NAFSIYYAH
Sifat nafsiyyah ialah sifat yang melazimi bagi setiap zat . Sifat nafsiyyah ini hanya mengambarkan tentang zat sahaja tidak lebih dari itu . Contohnya wujud (ada) , maka sifat wujud ini hanyalah satu sifat yang ada selama mana zat itu ada , andai kata zat itu tiada maka dengan sendirinya sifat wujud itu pun tiada juga .

SIFAT SALBIYYAH
Sifat salbiyyah ialah sifat yang mesti kita nafikan daripada zat ALLAH s.w.t . Contohnya wujud ALLAH ada permulaan . Jadi wajib kita nafikan sifat tersebut daripada zat ALLAH s.w.t maka kita katakan dan sabitkan ALLAH itu qadim(sedia ada) dengan makna tidak ada permulaan bagi kewujudan ALLAH.

SIFAT MA’ANI
Sifat ma’ani pula ialah sifat yang ada pada zat yang menyebabkan zat itu dihukumkan dengan sifat itu . Contohnya sifat qudrat , maka setiap zat yang ada sifat qudrat ini dipanggil kaunuhu qodiran (yang berkuasa) .

SIFAT MAKNAWIYYAH
Sifat maknawiyyah ialah keadaan ataupun hal yang wajib ada selama mana zat itu bersifat dengan sifat-sifat ma’ani . Contohnya sifat kaunuhu taala qodiran(keadaan ALLAH berkuasa) , maka selama-mana zat ALLAH bersifat dengan qudrat maka ia dipanggil yang berkuasa .

MAKLUMAN
Antara keempat-empat bahagian sifat yang dinyatakan diatas tadi hanya satu sahaja bahagian yang benar-benar ada pada zat ALLAH s.w.t iaitu sifat ma’ani , seandainya ALLAH membuka hijab dari pandangan kita pasti kita mampu melihat sifat-sifat tersebut . Manakala sifat-sifat yang lain ianya hanya wujud pada kiraan akal kita sahaja . Contoh yang mudah untuk diketengahkan ialah sifat mandul , pada hakikatnya sifat mandul ini tidak ada pada sepasang suami isteri tetapi bila mereka tidak dikurniakan zuriat maka mereka dipanggil mandul , justeru sifat mandul ini pada hakikatnya tidak ada pada zat seseorang itu sehingga kita mampu melihatnya tetapi ianya hanya ada pada kiraan akal kita sahaja .

SIFAT PERTAMA : WUJUD ( ADA )
TAKRIF WUJUD
Wujud ialah satu hal ataupun keadaan yang wajib bagi zat selama mana ianya ada , dan hal ataupun keadaan ini tidak mempunyai sebab bagi wujudnya .

HUKUM
Wajib syara’ keatas semua mukallaf beriktikad yakin seratus peratus bahawa ALLAH s.w.t itu wujud (ada) dan wajib kita nafikan sifat ‘adam ( tiada ) dari zat ALLAH . Wujud ALLAH tidak sama dengan wujud kita ini kerana wujud ALLAH tidak didahului oleh tiada dan tidak dihubungi oleh tiada . Adapun wujud kita ini , ianya didahului oleh tiada dan dihubungi oleh tiada juga . Dengan erti kata yang lain tidak ada tarikh lahir dan tarikh mati bagi ALLAH sedangkan kita ada hari dan tarikh kelahiran dan kematian .

DALIL AQLI
Dalil aqli tentang adanya sifat wujud bagi ALLAH ialah baharu alam ini . Mengapakah kita mengatakan baharu alam ini sebagai dalil wujudnya ALLAH? Jawapannya ialah alam ini sebelum adanya , ada dan tiadanya adalah sama berat 50-50 . Tetapi bila sahaja ia wujud , akal kita mengatakan mesti ada yang menjadikan alam ini kerana alam tidak mampu untuk menjadikan dirinya sendiri bahkan orang lain sahaja yang mampu mewujudkan alam ini . Maka apabila difikirkan nyatalah yang menjadikan alam ini ialah ALLAH s.w.t .
MAKLUMAN
Alam ini secara ringkasnya hanya mempunyai dua unsur iaitu jirim ( zat/batang tubuh ) dan ‘arod ( sifat ) . Maka setiap jirim wajib mempunyai sifat begitu juga sifat wajib menumpang ataupun bersama jirim , masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain . Setiap jirim hanya boleh mengambil salah satu sahaja diantara sifat-sifat yang berlawanan contohnya gerak dan diam , bila mana satu jirim itu bergerak maka sudah pasti ternafi darinya sifat diam .
BERSAMBUNG

Khamis, 9 Julai 2009

kewajipan seorang mukallaf

MUKALLAF
1- MANUSIA
Setiap manusia yang baligh dan berakal sekira telah sampai kepadanya dakwah islam maka dia digelar seorang mukallaf . Mukallaf ialah orang yang dipertanggungjawabkan melaksanakan apa sahaja yang dituntut dan meninggalkan apa jua yang ditegah .

TANDA BALIGH

1- Mimpi keluar mani
2- Keluar mani(bagi lelaki)
3- Terlihat darah haid atau mengandung(bagi perempuan)

Seandainya tidak zahir perkara-perkara tersebut , maka seseorang itu telah dikira baligh apabila genap umurnya 15 tahun .

2- JIN
Jin juga termasuk dalam golongan mukallaf . Tetapi bagi mereka , gelaran mukallaf itu akan dicapai bilamana mereka dilahirkan atau apabila mereka wujud dialam ini .

KEWAJIPAN MUKALLAF

Disaat seseorang itu digelar sebagai mukallaf , maka dia telah dipertanggungjawab dengan pelbagai kewajipan . Walaupun begitu di sana ada perkara yang wajib diketahui secara segera dan ada yang wajib diketahui tidak secara segera .

Maka para ulama' telah menegaskan bahawa sebaik sahaja seseorang itu bergelar mukallaf maka wajib syara'(apa yang dituntut oleh ALLAH supaya dilaksanakan secara lazim atau wajib) keatas mukallaf mengenal sifat-sifat yang wajib bagi ALLAH , sifat-sifat yang mustahil bagi ALLAH dan juga sifat yang harus bagi ALLAH . Begitu juga hukumnya(wajib syara') keatas mukallaf mengenali sifat-sifat yang wajib bagi rasul-rasul , sifat-sifat yang mustahil dan juga sifat yang harus bagi mereka .

HUKUM AKAL

Sebelum kita membincangkan perkara-perkara tersebut , sewajarnya kita mengetahui hukum-hukum akal . Imam al-haramain berkata : sesiapa yang tidak mengetahui tentang hukum-hukum akal maka dia tidak dianggap orang yang berakal . Maka hukum-hukum akal itu terbahagi kepada tiga :

1- wajib pada akal
Wajib pada akal ialah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh akal kita bahawa ianya tidak ada , bahkan akal menghukumkan ianya wajib ada . Contohnya sifat wujud bagi ALLAH , maka tidak terbayang dan tidak boleh diterima akal kita bahawa sifat wujud itu tidak ada .

2- mustahil pada akal
Mustahil pada akal ialah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh akal kita bahawa ianya ada , bahkan akal menghukumkan ianya wajib tiada . contohnya sifat 'adam(tiada) , maka akal kita menghukumkan bahawa mustahil adanya sifat 'adam(tiada)itu pada zat ALLAH .

3- harus pada akal
Harus pada akal ialah sesuatu yang dapat diterima oleh akal kita ianya ada dan tiada . Contohnya akal kita dapat menerima bahawa ALLAH boleh membuat alam ini dan juga boleh menerima bahawa ALLAH tidak membuat alam ini .

Kesimpulannya , wajib diatas mukallaf itu beriktikad(meyakini sesuatu tanpa ragu-ragu walhal keyakinan itu sepakat dengan waqi'(keadaan sebenar) beserta dengan dalil)bahawa sifat yang wajib bagi ALLAH dua puluh sifat , yang mustahil dua puluh sifat dan yang harus satu sifat . TETAPI WAJIB KITA YAKINI BAHAWA SIFAT-SIFAT KAMALAT(YANG SEMPURNA) BAGI ALLAH TIDAK TERHINNGA BANYAKNYA . Manakala sifat yang wajib bagi para rasul ialah lima sifat , yang mustahil lima sifat dan yang harus satu sifat . Maka para ulama' usuluddin mengistilahkan perkara yang disebut diatas sebagai 50 akaid(akidah) .

AKAN BERSAMBUNG...

Sabtu, 4 Julai 2009

PENGENALAN ILMU USULUDDIN

Bagi setiap ilmu ada pengenalan ataupun prinsipnya . Justeru itu , para ulama telah menegaskan bahawa setiap ilmu mempunyai sepuluh mabadi’ atau melayunya dipanggil sepuluh pengenalan dan prinsipnya .
Sepuluh prinsip itu ialah : takrif ilmu , topik perbincangan , pengasas ilmu , hukum mempelajarinya , nama , kedudukannya , permasaalahan , tempat rujukan , faedah mempelajarinya dan matlamat sesuatu ilmu itu .
Jadi saya akan menjelaskan tentang sepuluh prinsip ini satu-persatu dengan cara ikhtisar(ringkas) :

1- Takrif
Para ulama’ telah berselisih pada takrif ilmu usuluddin kepada pelbagai takrif . Tetapi saya hanya mengambil satu takrif yang ringkas dan padat untuk memudahkan kita memahaminya .
Imam Al-sowi mentakrifkan ilmu usuluddin di dalam kitabnya yang bernama Syarah Al-sowi ‘ala jauharoh tauhid : satu ilmu yang diketahui dengannya apa(sifat) yang wajib bagi ALLAH ,apa(sifat) yang mustahil dan apa(sifat) yang harus bagi ALLAH , dan apa(sifat) yang wajib bagi Rasul-rasul , apa(sifat) yang mustahil dan apa(sifat) yang harus bagi mereka , dan tentang perihal benda-benda yang ghaib dan tentang perkara-perkara yang mumkinat
(harus) .

2- Topik perbincangan
Topik atau tajuk perbincangan ilmu ini hanya berkisar tentang zat ALLAH dan juga segala sifat-sifatNya ataupun segala maklumat yang boleh membawa kepada akidah diniyyah(agama).

3- Pengasas
Pengasas ilmu usuluddin ialah Imam Al-asy'ari dan pengikutnya(Al-asya’iroh) dan juga Imam Al-maturidi dan pengikutnya(Al-maturidiyyah) .

4- Hukum belajar
Hukum mempelajari ilmu usuluddin ini terbahagi kepada dua :

Pertama : wajib ‘aini(fardu ain) di atas setiap individu yang beriman dengan dalil ijmali(secara umum) sahaja .

Kedua : wajib kifai(fardu kifayah) ke atas setiap penduduk dua marhalah , mesti ada seorang yang mengetahui ilmu ini dengan dalil-dalil tafsili( terperinci) yang mampu menolak kekeliruan tentang masalah akidah .

5- Nama
Nama ilmu ini sangat banyak . Antaranya : ilmu tauhid , ilmu usuluddin , ilmu kalam , ilmu fekah akbar dan ilmu akidah .

6- Kedudukan
Ilmu ini merupakan asal usul bagi agama kita Islam , manakala ilmu yang lain ialah cabang bagi agama . Dan ia merupakan ilmu yang paling afdhal kerana membicarakan perkara yang berkait dengan zat ALLAH .

7- Permasalahan
Ilmu ini hanya membicarakan mengenai tiga perkara ; ilahiyyat(yang berkait dengan ALLAH) nubuwwat(yang berkait dengan para nabi) dan sam'iyyat(yang berkait dengan alam ghaib) disudut wajib , mustahil dan harus bagi akal sahaja .

8- Tempat rujukan
Tempat rujukan ilmu ini ialah dalil naqli(Al-quran dan hadis) dan dalil akli(akal) .

9- Faedah
Mengesahkan amalan kita di dunia ini .

10- Matlamat
Matlamat dari mempelajari ilmu ini tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mengapai redha ALLAH dan masuk syurgaNya .

Begitulah penerangan serba sedikit tentang prinsip ilmu usuluddin yang saya petik dari Syarah Al-sowi ‘ala jauharoh tauhid dan Al-aqoid al-durriyyah syarah matan sanusiyyah. Wallahua’lam .
 

©2009 .::usuluddin::. | Template Blue by TNB